Sunday, May 29, 2016

KURSUS E-DAGANG BUKA PELUANG PEMASARAN LEBIH LUAS KEPADA PENIAGA KG TELISAI

LAHAD DATU : Seramai 25 orang peniaga dan pengusaha industri kecil dan peruncitan dari Kg Telisai telah berjaya mengikut Kursus E-Dagang anjuran KRT Telisai bersama dengan Kolej Komuniti Lahad Datu. Kursus yang berlangsung selama 2 hari bermula 21 hingga 22 Mei 2016 itu telah dibuat di Kolej Komuniti Lahad Datu dan perasmian penutupan serta penyampaian sijil kepada semua peserta telah disempurnakan oleh YB Datuk Hj Datu Nasrun Datu Harun, Ahli Parlimen P.188 Silam.

Dalam ucapan perasmian penutupan, Nasrun menggesa para peserta mengambil kesempatan dan peluang yang disediakan oleh pihak kerajaan melalui usaha Kolej Komuniti Lahad Datu untuk sentiasa menambahkan kemahiran serta ilmu pengetahuan dalam bidang perniagaan. Penganjuran kursus ini juga menurut Nasrun adalah bukti keperihatinan kerajaan masyarakat luar bandar khususnya dalam usaha membantu masyarakat memajukan diri dalam bidang perniagaan maya yang semakin popular ketika ini.




Antara kandungan utama kursus adalah penggunaan media maya dalam pemasaran produk seperti melalui Facebook, Instagram dan Blogspot. Para peserta kursus juga telah diperkenalkan kepada proses pembuatan jenama produk menggunakan komputer serta kaedah-kaedah pemasaran media maya yang berkesan dan tepat kepada sasaran pelanggan.

En Mohd Sahad Abd Said, selaku penyelaras kursus bagi pihak KRT Kg Telisai berkata penyertaan baik dari warga peniaga dan pengusaha Kg Telisai membuktikan kesediaan para peserta mendalami ilmu perniagaan masakini yang perlu diamalkan oleh penduduk luar bandar. Ianya juga sedikit- sebanyak akan meluaskan lagi ruang pasaran produk-produk yang terhasil di kampung untuk dilanggani oleh pembeli yang berada di bandar dan sebagainya. Antara produk yang telah dihasilkan oleh peniaga Kg Telisai adalah Minyak Kelapa Dara Telisai dan Kuih Tradisi Tinapa.

Kejayaan penganjuran ini juga meletakkan proses transformasi desa yang disasarkan oleh kepimpinan Kg Telisai melalui Pelan Strategik Kampung Telisai 2016-2020 berada di landasan yang tepat dan betul. Kolaborasi bijak dengan institusi kerajaan seperti Kolej Komuniti ini merupakan kali kedua dimaterai oleh kepimpinan Kampung Telisai setelah berjaya menganjurkan kursus bersepadu Anjung Ilmu Komuniti pada awal Mei yang lepas.


No comments:

Post a Comment