Sunday, May 29, 2016

KURSUS E-DAGANG BUKA PELUANG PEMASARAN LEBIH LUAS KEPADA PENIAGA KG TELISAI

LAHAD DATU : Seramai 25 orang peniaga dan pengusaha industri kecil dan peruncitan dari Kg Telisai telah berjaya mengikut Kursus E-Dagang anjuran KRT Telisai bersama dengan Kolej Komuniti Lahad Datu. Kursus yang berlangsung selama 2 hari bermula 21 hingga 22 Mei 2016 itu telah dibuat di Kolej Komuniti Lahad Datu dan perasmian penutupan serta penyampaian sijil kepada semua peserta telah disempurnakan oleh YB Datuk Hj Datu Nasrun Datu Harun, Ahli Parlimen P.188 Silam.

Dalam ucapan perasmian penutupan, Nasrun menggesa para peserta mengambil kesempatan dan peluang yang disediakan oleh pihak kerajaan melalui usaha Kolej Komuniti Lahad Datu untuk sentiasa menambahkan kemahiran serta ilmu pengetahuan dalam bidang perniagaan. Penganjuran kursus ini juga menurut Nasrun adalah bukti keperihatinan kerajaan masyarakat luar bandar khususnya dalam usaha membantu masyarakat memajukan diri dalam bidang perniagaan maya yang semakin popular ketika ini.




Antara kandungan utama kursus adalah penggunaan media maya dalam pemasaran produk seperti melalui Facebook, Instagram dan Blogspot. Para peserta kursus juga telah diperkenalkan kepada proses pembuatan jenama produk menggunakan komputer serta kaedah-kaedah pemasaran media maya yang berkesan dan tepat kepada sasaran pelanggan.

En Mohd Sahad Abd Said, selaku penyelaras kursus bagi pihak KRT Kg Telisai berkata penyertaan baik dari warga peniaga dan pengusaha Kg Telisai membuktikan kesediaan para peserta mendalami ilmu perniagaan masakini yang perlu diamalkan oleh penduduk luar bandar. Ianya juga sedikit- sebanyak akan meluaskan lagi ruang pasaran produk-produk yang terhasil di kampung untuk dilanggani oleh pembeli yang berada di bandar dan sebagainya. Antara produk yang telah dihasilkan oleh peniaga Kg Telisai adalah Minyak Kelapa Dara Telisai dan Kuih Tradisi Tinapa.

Kejayaan penganjuran ini juga meletakkan proses transformasi desa yang disasarkan oleh kepimpinan Kg Telisai melalui Pelan Strategik Kampung Telisai 2016-2020 berada di landasan yang tepat dan betul. Kolaborasi bijak dengan institusi kerajaan seperti Kolej Komuniti ini merupakan kali kedua dimaterai oleh kepimpinan Kampung Telisai setelah berjaya menganjurkan kursus bersepadu Anjung Ilmu Komuniti pada awal Mei yang lepas.


Monday, May 9, 2016

PROGRAM ANJUNG ILMU KOMUNITI BUKTI POTENSI TELISAI SEBAGAI PUSAT ILMU DI TUNGKU

TUNGKU : Program Anjung Ilmu Komuniti yang diadakan baru-baru ini di Lima tempat berasingan di Kg Telisai membuktikan kemampuan Kampung Telisai menganjurkan program berskala besar serta menunjukkan kesediaan para penduduknya melalui proses transformasi hidup selaras dengan motto kampung iaitu ‘Menerajui Transformasi’.



Program anjuran bersama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Kolej Komuniti Lahad Datu dan KRT Kampung Telisai ini telah disertai oleh seramai 250 orang peserta mewakili pelbagai peringkat umur dari kanak-kanak dan orang dewasa. Kursus-kursus yang telah diadakan adalah kursus pengurusan jenazah, Fun With English untuk kanak-kanak, kursus pekerti diri untuk golongan belia, kursus kemahiran bunga manik, solekan inai, solekan siang, penyediaan cup cake, pembuatan mee kuning, roti bun dan masakan biskut raya.

Pegawai Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Daerah Lahad Datu, Jamaluddin Abdul Rahman semasa berucap merasmikan penutupan program ini berkata beliau amat kagum dan gembira dengan sambutan positif masyarakat Kg Telisai terhadap kursus bersepadu begini. Beliau berkeyakinan masyarakat Kg Telisai akan mendapat manfaat dari program ini khususnya kaum ibu dan berkecimpung dalam perniagaan kecil jualan kuih dan roti.


Sementara itu, Pengarah Kolej Komuniti Lahad Datu, Muhammad Sani Che Idris berkata penganjuran program ini yang melibatkan 10 jenis kursus sekaligus di luar kolej merupakan satu sejarah kolej komuniti seluruh negara. Beliau menambah, kelancaran dan kejayaan penganjuran ini juga banyak dipengaruhi oleh sokongan baik kepimpinan Kg Telisai dan keupayaan Kg Telisai menyediakan tempat-tempat kursus amatlah mengagumkan lebih-lebih lagi status Kg Telisai yang hanya sebuah kampung jauh dari bandar.

“Matlamat kita menganjurkan kursus begini di Kg Telisai adalah ingin memberi peluang kepada masyarakat luar bandar yang kita tahu sentiasa menghadapi masalah kekangan masa dan kewangan untuk turun ke kolej kita di bandar Lahad Datu bagi menyertai kursus-kursus kemahiran yang kita tawarkan.”


Berucap mewakili KRT Kampung Telisai, Usman Hj Hamid yang juga Penasihat ADS1M Kg Telisai berkata, penganjuran kursus bersepadu ini adalah selaras dengan Pelan Strategik Kg Telisai 2016-2020 yang menekankan keseimbangan pembangunan infra dengan kekukuhan jati diri modal insan masyarakat Kg Telisai. Beliau menghargai kolaborasi unik pihak kampung dengan agensi kerajaan sebegini dan berharap akan ada lagi agensi kerajaan lain yang sudi menjadikan Kg Telisai sebagai pusat penganjuran program kemahiran dan keilmuan di kawasan Tungku di masa hadapan.


Turut hadir semasa majlis perasmian penutupan adalah Ketua Kampung Telisai, Mohamed Nuron; Pengerusi KRT Telisai, Saidbuddin Rualdes; Pengerusi Peserta Felcra Telisai, Mohamed Amirol; Pengerusi PIBG Telisai, Rafidah Aziz dan Pengerusi WADIRA Telisai, Hajijah Abd Bani.