Thursday, March 31, 2016

YBHG SS DATUK MUFTI NEGERI SABAH BAKAL BERCERAMAH DI KG TELISAI

Khamis : Kg Telisai akan didatangi oleh tetamu istimewa iaitu YBhg SS Datuk Mufti Negeri Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz bin Jaafar yang akan menyampaikan ceramah beliau pada 10 April 2016 di Masjid Al-Badrul Kg Telisai. Mesyuarat mengenainya telah diadakan di pejabat Daerah Kecil Tungku pada Khamis 31 Mac 2016 dan telah dipengerusikan oleh YBhg Tuan ADO Adam Valentine serta dihadiri oleh Ketua Daerah Tungku, Tuan Hj Kamarudin Hj Hamid serta pemimpin yang lain.


Program ceramah ini adalah anjuran bersama Pejabat Daerah Kecil Tungku, JHEAINS, Perwani Silam dan AJK Masjid Al-Badrul. Ceramah yang disampaikan akan berkisar kepada isu Aqidah Umat Islam dan majlis dijangka dihadiri oleh semua pemimpin masyarakat di Daerah Tungku termasuk imam-imam rawatib yang ada.



Orang ramai yang tinggal di sekitar Kg Telisai dijemput hadir dan peluang untuk beramah mesra dengan tokoh agama negeri ini perlulah diambil peluang oleh masyarakat kampung.

Tuesday, March 22, 2016

KARNIVAL KURSUS PENDEK BERSEPADU BAKAL DIANJURKAN DI KG TELISAI

19 MAC : Kolej Komuniti Lahad Datu bersama Jabatan Perpaduan Lahad Datu telah memilih Kg Telisai sebagai Tuan Rumah Karnival Kursus Pendek Bersepadu yang akan diadakan pada April 2016. Perkara tersebut telah diputuskan semasa Mesyuarat Pengarah Kolej Komuniti Lahad Datu bersama dengan Kepimpinan Kg Telisai di Bilik Mesyuarat Koperasi Telisai Berhad Sabtu lepas.



Antara kursus-kursus yang akan diadakan adalah Kursus Pembuatan Mee Kuning, Kursus Jahitan Felt & Manik, Kursus Membuat Cup Cake & Desert, Kursus Kemahiran Bahasa English, Kursus Penyempurnaan Jenazah dan Kursus Keterampilan Diri. Para penceramah serta pengendali kursus adalah dibawah jemputan Kolej Komuniti Lahad Datu dan dijangkakan kursus ini akan dihadiri oleh seramai 200-300 orang peserta yang akan dipecahkan mengikut minat dan kecenderungan peserta itu sendiri. Kursus ini adalah khas kepada masyarakat Kg Telisai sahaja dan ianya sudah tentu menguntungkan penduduk Kg Telisai.


Setiap peserta akan dikenakan yuran penyertaan yang amat minima dan sijil penyertaan akan diberikan sejurus para peserta tamat mengikuti kursus masing-masing. Menurut Pengarah Kolej Komuniti Lahad Datu, kursus-kursus sedemikian sebelumnya adalah diadakan di dalam Kolej Komuniti Lahad Datu dan penganjuran kursus ini di Kg Telisai adalah yang pertama kali dibuat di luar kolej. Beliau juga memaklumkan bahawa Kg Telisai amatlah sesuai menjadi tuan rumah lebih-lebih lagi status Kg Telisai sebagai Johan Pertandingan Anugerah Desa Sejahtera 1 Malaysia (ADS1M) 2015. Kemudahan-kemudahan yang ada di Kg Telisai juga adalah baik dan sesuai.


Turut hadir semasa mesyuarat di atas adalah Tuan Ketua Kampung Kg Telisai, En Mohamed Nuron, Pengarah Kolej Komuniti Lahad Datu, Pegawai Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional Daerah Lahad Datu, Puan Hajijah A b=Bani, Pengerusi WADIRA Kg Telisai, En Basrin Ismail, Pengerusi Persatuan Belia Kg Telisai serta para ahli KRT Telisai dan Ahli WADIRA Kg Telisai.

Tuesday, March 15, 2016

PARA IBU TUNGGAL KG TELISAI MENDAPAT PELUANG MEMAJUKAN DIRI DAN KELUARGA

LAHAD DATU - MAC 2016: Seramai 9 orang ibu tunggal Kg Telisai telah menyertai Majlis Dialog Bersama Ibu Tunggal anjuran Jabatan Pembangunan Wanita Sabah dan Pejabat Daerah Lahad Datu yang telah diadakan pada 9 Mac 2016 bertempat di Dewan Tun Mustapha, Lahad Datu. Dialog yang berlangsung setengah hari itu telah disertai oleh para anggota Persatuan Ibu Tunggal Lahad Datu serta para kaum ibu di sekitar daerah Lahad Datu dan Tungku seramai lebih kurang 300 orang.


Beberapa ketua jabatan atau agensi kerajaan terbabit seperti Pejabat Daerah Lahad Datu, Pejabat Tanah dan Ukur, Jabatan Tenaga Kerja, Mahkamah Syariah, jabatan Kebajikan serta Amanah Raya Berhad adalah antara jabatan dan agensi kerajaan yang dipilih sebagai ahli panel yang telah menjawab beberapa persoalan yang dikemukakan oleh para peserta. Antara isu yang ditimbulkan adalah berkaitan masalah penagihan dadah di kalangan anak-anak keluarga ibu tunggal, masalah kesukaran ibu-ibu tunggal mendapatkan tapak perniagaan di kawasan bandar serta pertanyaan tentang tuntutan harta pusaka oleh para balu yang kematian suami.


Di pihak Kg Telisai, selain penyertaan oleh kaum ibu khasnya para ibu tunggal, salah seorang ahli panel adalah En Usman Hj Hamid yang juga merupakan anak jati Kg Telisai yang menjadi wakil kepada Amanah Raya Berhad di dalam majis dialog ini. Para peserta juga telah didedahkan kepada peluang-peluang perniagaan untuk menaiktarafkan tahap ekonomi keluarga masing-masing. Para peserta telah diberikan borang pendaftaran Persatuan Ibu Tunggal Sabah dan kaum ibu yang lain pula diberikan kemudahan mendaftar di sistem E-kasih. Melalui proses ini, para agensi terbabit akan mudah menyalurkan bantuan-bantuan yang tersedia dan secara langsung memberi kelebihan kepada para peserta untuk meningkatkan kemahiran dan kemajuan diri.


Antara yang hadir semasa majlis perasmian adalah Timbalan Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita Sabah, Tuan Pegawai Daerah Lahad Datu (selaku Perasmi - mewakili YB ADUN N50 Lahad Datu, Pegawai UPPM DUN N50 Lahad Datu, Ketua Eksekutif MDLD serta beberapa ketua jabatan di daerah Lahad Datu.

Thursday, March 10, 2016

KG TELISAI DIPILIH SEBAGAI TUAN RUMAH PROGRAM SEMARAK RAKYAT KOMUNITI 1 MALAYSIA PERINGKAT DAERAH LAHAD DATU

MAC 2016 - LAHAD DATU : Kg Telisai telah menerima penghormatan apabila dipilih sebagai Tuan Rumah Program Semarak Rakyat Komuniti 1 Malaysia peringkat daerah Lahad Datu yang dijadualkan berlangsung pada awal April nanti. Pemilihan Kg Telisai ini telah dimuktamadkan semasa Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksana Program pada 1 Mac 2016 di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Lahad Datu. Kg Telisai telah diwakili oleh Ketua Kampung, En Mohamed bin Nuron (gambar di bawah) dan Pengerusi JKKK, En Shazily bin Naga semasa mesyuarat tersebut.



Program yang dianjurkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia bersama Pejabat Daerah Lahad Datu ini antara lain dilaksanakan bagi memupuk Semangat Cintakan Negara selain membentuk jalinan mesra antara agensi-agensi kerajaan dengan masyarakat tempatan khususnya di luar bandar. Pelbagai acara telah dirancang untuk diadakan antaranya majlis ilmu berbentuk forum pembangunan kampung, pameran agensi kerajaan,  sukan rakyat dan tradisi, pertandingan karaoke dan juga acara tarik tali antara kampung-kampung. 

Menurut Pegawai Jabatan Penerangan Daerah Lahad Datu, pemilihan Kg Telisai sudah tentu akan memberikan tarikan tersendiri untuk masyarakat daerah Tungku hadir dan  memeriahkan program ini, apakan lagi status Kg Telisai sebagai Johan Pertandingan Kampung Terbaik ADS1M Peringkat Negeri Sabah 2015. Para penduduk sekitar Tungku juga berpeluang melawat kawasan kampung dan mengambil pengalaman berharga khususnya Pusat Kitar Semula dan Pelupusan Sampah Kg Telisai yang merupakan inisiatif serta inovasi murni penduduk kampung.

Sunday, March 6, 2016

KAWASAN RUKUN TETANGGA (KRT) KG TELISAI MENGORAK LANGKAH POSITIF

TUNGKU, FEBRUARI: Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kg Telisai mengorak langkah positif apabila berjaya membentuk Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang telahpun diluluskan penubuhannya. Usaha membentuk SRS ini telahpun dibincang dan dimuktamadkan pada mesyuarat Jawatankuasa KRT Kg Telisai yang telah diadakan di rumah Puan Asmah, Kg. Telisai baru-baru ini.



Mesyuarat itu menurut En Mohd Sahad Abd Said, yang juga merupakan jurucakap kepada KRT Kg Telisai turut membincangkan penyertaan ahli-ahli KRT di dalam rangka kursus yang dianjurkan oleh KRT Daerah melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional. Antara kursus-kursus yang bakal dihadiri adalah kursus-kursus kemahiran membuat makanan tertentu serta kursus kemajuan ekonomi keluarga.


Mesyuarat tersebut telah dihadiri oleh pegawai Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Daerah Lahad Datu, En. Jamaludin Abd Rahman yang juga bertindak sebagai perasmi, Ketua Daerah Tungku yang baru, Tuan Hj Kamarudin Hj Hamid serta Ketua Kampung Telisai, En Mohamed Nuron.