Friday, November 11, 2016

KG TELISAI MENCATAT SEJARAH GEMILANG - NAIB JOHAN ANUGERAH DESA SEJAHTERA 1MALAYSIA PERINGKAT KEBANGSAAN 2015

SERDANG - 16 OKTOBER : Kg Telisai mencatat sejarah tersendiri apabila dinobatkan menjadi Naib Johan Pertandigan Anugerah Desa Sejahtera 1Malaysia Peringkat Kebangsaan 2015. Hadiah telah disampaikan oleh YAB Dato Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia di satu majlis gilang-gemilang yang dihadiri oleh lebih kurang 12,000 orang pengunjung yang datang dari seluruh negara.

Rombongan Kg Telisai yang hadir MAEPS Serdang turut diiringi oleh Tuan Pen Pegawai Daerah Tungku, En Jabli Jaratul, Pegawai KPLB Sabah, En Majaran dan Pegawai KEMAS Negeri Sabah, Puan Rugaya Abd Momin.

Seramai 52 orang pemimpin serta penduduk Kg Telisai yang diketuai oleh Ketua Daerah Tungku, Hj Kamarudin Hamid telah hadir dan turut menyertai Pertandingan Booth Pameran di mana Kg Telisai juga mencatat sejarah apabila turut memenangi Naib Johan Pertandingan Booth Terbaik dengan Hadiah disampaikan oleh Ketua SU KKLW.

Pegarah Projek ADS1M Kg Telisai, Usman Hj Hamid berkata, usaha gigih semua penduduk telah membuahkan hasil dan beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yg terbabit mencipta kejayaan ini.

Sebagai pemenang Naib Johan, Telisai mendapat hadiah bernilai RM300,000.00. Johan disandang oleh Kg Parit Tengah Johor dan Tempat Ketiga oleh Kg Ulu Serting Negeri Sembilan.


























Thursday, September 22, 2016

SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN PERINGKAT DAERAH TUNGKU BERLANGSUNG MERIAH DI KG TELISAI

TUNGKU : Kg Telisai mencatat satu lagi sejarah apabila dipilih menjadi penganjur kepada Sambutan Hari Kebangsaan 2016 Peringkat Daerah Kecil Tungku. Majlis telah disempurnakan oleh YB Datuk Hj Mohd Suhaili Hj Said dan dihadiri oleh para pemimpin kawasan Tungku serta pegawai-pegawai kerajaan dari Lahad Datu dan Ketua Seranta Felda Sabah.

Sebanyak 18 kontinjen telah menyertai perbarisan hormat dan didahului oleh pasukan PDRM. Kontinjen Kadet SMK Tungku telah muncul sebagai Juara dan WADIRA Telisai pula mengungguli tempat kedua pertandingan kontinjen terbaik. Antara acara-acara adalah persembahan Taekwondo oleh PTC Telisai yang mendapat tumpuan hangat daripada hadirin.

Usman Hj Hamid selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur berkata, Telisai dipilih sebagai tuan rumah sambutan kali ini bagi memberi penghormatan kepada kampung Telisai yang telah dinobatkan sebagai kampung terbaik di Sabah tahun 2015 melalui pertandingan ADS1M.






Thursday, August 4, 2016

TABIKA KEMAS TELISAI LAKUKAN LAWATAN SAMBIL BELAJAR

OGOS : Tabika KEMAS Telisai adalah antara pusat didikan kanak-kanak paling aktif di daerah Tungku. Diketuai oleh pegawai/guru KEMAS Puan Faridah Hj Hamid dan dibantu oleh Puan Masriah Masri, para pelajar Tabika KEMAS bersama ibubapa telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Pulau Buta Agro Resort di Pantai Telisai.

Semasa lawatan tersebut, para pelajar dan ibubapa telah diberikan taklimat berkaitan ekologi pertumbuhan pokok payah bakau oleh pemilik pusat pelancongan ini iaitu En Mohd Amirol Hj Hamid. Para pelajar juga berpeluang melihat binatang-binatang yang mendiami kawasan hutan bakau seperti burung, monyet 'Proboscis Monkey' dan ketam bakau. Kawasan tanaman seperti tebu dan sayur-sayuran di pusat ini turut dilawati oleh para pelajar.

Lawatan ini yang mendapat sokongan kuat dari kepimpinan kampung turut diiringi oleh pasukan keselamatan PDRM dari Balai Polis Tungku dan selesai aktiviti lawatan, para peserta dan ibubapa serta para anggota polis telah dihidangkan dengan jamuan oleh pihak pemilik Pulau Buta. 







Saturday, July 16, 2016

PROGRAM DRIVE-TRU PANDU LALU BUBUR ADABI, KUIH TINAPAH DAN AIR TEBU TELISAI MENDAPAT SAMBUTAN

TUNGKU - 4 JULAI: Program Drive-Tru Pandu Lalu Bubur Adabi, Kuih Tinapah dan Air Tebu Telisai berjalan lancar dan mendapat sambutan daripada masyarakat tempatan khususnya para pengguna Jalan Lahad Datu-Tungku.

Program telah dirasmikan oleh YBhg Tuan Hj Kamarudin Hj Hamid, Ketua Daerah Tungku telah bermula seawal jam 10.00 pagi dengan kerja-kerja menyediakan bahan masakan serta proses memasak bubur dilakukan oleh para penganjur yang terdiri daripada Ahli Keluarga Dinasti Sannau dan para pekerja Pulau Buta Agro Resort yang bertindak selaku penganjur bersama program ini dengan Pejabat Ketua Kampung Telisai.

Bahan-bahan asas untuk memasak bubur telah disumbangkan oleh Syarikat ADABI Sabah dan Pulau Buta Agro Resort pula telah menyumbangkan Kuih Tinapah serta air tebu. Kuih Tinapah adalah kuih yang menjadi produk Kampung Telisai dan ianya sinonim untuk dijadikan jamuan pada majlis keraian di kampung.

Program yang berakhir pada jam 5.00 petang ini turut mendapat kerjasama pihak PDRM Balai Polis Tungku yang hadir membuat kawalan lalu lintas sepanjang acara pengedaran dibuat. Program ini ternyata mencapai objektifnya apabila semangat kekeluargaan dan kejiranan di kalangan penduduk kampung yang terlibat berjaya dipupuk di samping melaksanakan kerja-kerja amal di bulan Ramadhan mengedarkan sumbangan berbentuk makanan kepada para pengguna jalan raya di daerah Tungku dan Felda.

Pada sebelah malamnya pula, Program Kasih Meniti Ramadhan telah diadakan di Dewan Panglima Nalaja Kg Telisai. Program ini dianjurkan bersama oleh Persatuan Alumni SK Telisai, SAR Al-Hamid dan Pejabat Ketua Kampung Telisai.Seramai 60 orang asnaf, ibu-ibu tunggal dan anak yatim telah menerima sumbangan makanan asas dan wang yang disempurnakan oleh Pengerusi JKKK Kg. Telisai, En Shazily Naga, Balu Allahyarham Hj Hamid Juragan, Puan Hajah Saidah dan Puan Kalsumah Aid. 

Program Kasih Meniti Ramadhan ini mempunyai keunikan kerana sebahagian sumbangan adalah hasil kutipan tabung Alumni SK Telisai yang ditubuhkan oleh beberapa orang anak jati Telisai yang bekerja di luar daerah Lahad datu dan juga Felda.








Program Meniti Kasih Ramadhan



Thursday, June 23, 2016

ASNAF DAN IBU TUNGGAL MENDAPAT PERHATIAN ANAK JATI TELISAI

TUNGKU, 19 Jun 2016 : Sempena bulan Ramadhan yang mulia ini, AJK Masjid Badrul Rahman dan Anak Jati Telisai telah menganjurkan program Penyampaian Sumbangan kepada para Asnaf dan Ibu Tunggal Kg Telisai. Seramai lebih kurang 50 orang penerima telah menerima sumbangan yang disempurnakan oleh Tuan Ketua Kampung Telisai, En Mohamed bin Nuron dan Tuan Imam Hj Zulkarnain. Turut hadir mengiringi adalah Pengerusi Jawatankuasa Masjid Badrul Rahman, En And Yasin Hj Abd Halim.

Selain sumbangan berupa wang tunai daripada pihak masjid, barang-barang makanan asas juga telah disumbangkan oleh Anak Jati Telisai, En Baitun Pisingan yang juga merupakan seorang ahli peniaga yang berjaya di Kota Kinabalu. Tradisi penganjuran ini merupakan satu amalan mulia yang wajar diteruskan dan disokonga kerana ia membuktikan bahawa anak jati kampung ini tidak pernah melupai golongan asnaf dan ibu tunggal yang memang perlukan bantuan dan perhatian pada bulan mulia ini.

Menurut En Mohd Sahad Abd Said, selaku Pengurus Program, selain penyerahan sumbangan, acara lain adalah ceramah agama yang telah disampaikan oleh penceramah jemputan dari Lahad Datu dan majlis berbuka puasa, solat maghrib, Isyak dan Terawih juga telah diadakan.











Sunday, May 29, 2016

KURSUS E-DAGANG BUKA PELUANG PEMASARAN LEBIH LUAS KEPADA PENIAGA KG TELISAI

LAHAD DATU : Seramai 25 orang peniaga dan pengusaha industri kecil dan peruncitan dari Kg Telisai telah berjaya mengikut Kursus E-Dagang anjuran KRT Telisai bersama dengan Kolej Komuniti Lahad Datu. Kursus yang berlangsung selama 2 hari bermula 21 hingga 22 Mei 2016 itu telah dibuat di Kolej Komuniti Lahad Datu dan perasmian penutupan serta penyampaian sijil kepada semua peserta telah disempurnakan oleh YB Datuk Hj Datu Nasrun Datu Harun, Ahli Parlimen P.188 Silam.

Dalam ucapan perasmian penutupan, Nasrun menggesa para peserta mengambil kesempatan dan peluang yang disediakan oleh pihak kerajaan melalui usaha Kolej Komuniti Lahad Datu untuk sentiasa menambahkan kemahiran serta ilmu pengetahuan dalam bidang perniagaan. Penganjuran kursus ini juga menurut Nasrun adalah bukti keperihatinan kerajaan masyarakat luar bandar khususnya dalam usaha membantu masyarakat memajukan diri dalam bidang perniagaan maya yang semakin popular ketika ini.




Antara kandungan utama kursus adalah penggunaan media maya dalam pemasaran produk seperti melalui Facebook, Instagram dan Blogspot. Para peserta kursus juga telah diperkenalkan kepada proses pembuatan jenama produk menggunakan komputer serta kaedah-kaedah pemasaran media maya yang berkesan dan tepat kepada sasaran pelanggan.

En Mohd Sahad Abd Said, selaku penyelaras kursus bagi pihak KRT Kg Telisai berkata penyertaan baik dari warga peniaga dan pengusaha Kg Telisai membuktikan kesediaan para peserta mendalami ilmu perniagaan masakini yang perlu diamalkan oleh penduduk luar bandar. Ianya juga sedikit- sebanyak akan meluaskan lagi ruang pasaran produk-produk yang terhasil di kampung untuk dilanggani oleh pembeli yang berada di bandar dan sebagainya. Antara produk yang telah dihasilkan oleh peniaga Kg Telisai adalah Minyak Kelapa Dara Telisai dan Kuih Tradisi Tinapa.

Kejayaan penganjuran ini juga meletakkan proses transformasi desa yang disasarkan oleh kepimpinan Kg Telisai melalui Pelan Strategik Kampung Telisai 2016-2020 berada di landasan yang tepat dan betul. Kolaborasi bijak dengan institusi kerajaan seperti Kolej Komuniti ini merupakan kali kedua dimaterai oleh kepimpinan Kampung Telisai setelah berjaya menganjurkan kursus bersepadu Anjung Ilmu Komuniti pada awal Mei yang lepas.