Friday, December 18, 2015

Majlis Penghakiman ADS1M Peringkat Kebangsaan 2015 Berjalan Lancar

16 Disember 2015 - Tungku Lahad Datu: Majlis Penghakiman Anugerah Desa Sejahtera 1 Malaysia (ADS1M) Peringkat Kebangsaan berjalan dengan baiknya di Kampung Telisai Rabu lepas. Majlis bermula dengan sambutan ketibaan para panel hakim dengan diiringi oleh Pasukan Elit ATM di bawah kendalian ESSCOM. Program Semarak Kemerdekaan pula diadakan di Padang SK Telisai dan ianya diserikan oleh penglibatan sebanyak 21 kontinjen yang terdiri dari pelbagai persatuan dan pasukan belia Kampung Telisai, antaranya Persatuan Belia Kg Telisai, Persatuan Wanita Dinamik Felcra (WADIRA), Anak Jati Telisai di Felda, Koperasi Telisai Berhad serta Pasukan Masjid Al-Badrul Telisai.

Para panel hakim telah dihidangkan dengan makan tradisi seperti Nasi Kuning Ikan Tongkol, Sinagol Pahi semasa jamuan makan. Majlis Penghakiman Biro-biro pula telah diadakan di Pejabat Koperasi Telisai Berhad dan semua biro telah memberikan kerjasama yang cukup baik dan bertanggungjawab.


Majlis diakhiri dengan perasmian Dataran ADS1M Telisai oleh YBhg. Tuan Ketua Panel Hakim serta sesi bergambar bersama JKKK dan AJK ADS1M Telisai. Sebagai rekod juga, Kampung Telisai adalah wakil negeri Sabah dan kampung terakhir yang dihakimi oleh para hakim kebangsaan selain 13 buah kampung yang bertanding di seluruh negara.


Sunday, December 13, 2015

KAMPUNG TELISAI DINOBAT JUARA PERTANDINGAN ANUGERAH DESA SEJAHTERA 1 MALAYSIA NEGERI SABAH 2015


Penantian penduduk Kg. Telisai untuk menjadi juara ADS1M Negeri Sabah akhirnya terjawab apabila diumumkan menjadi juara pada 5 Disember 2015 yang lepas. Kampung Biau Bongawan pula mendapat tempat Kedua dengan Kampung Sugiang Tenom dipilih mendapat tempat Ketiga.

Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh YB Datuk Hj Nilwan bin Kabang, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah. Dengan kemenangan ini Kampung Telisai akan mewakili Negeri Sabah ke pertandingan peringkat kebangsaan yang dijadualkan pada 16 Disember 2015. 

Usman Hj Hamid, wakil penduduk Kampung Telisai yang berucap semasa majlis itu berkata, kunci utama kepada kemenangan kampung mereka adalah sikap bersatu padu yang kuat di kalangan penduduk kampung. Beliau berharap kejayaan ini akan menyuntik semangat penduduk kampung untuk lebih berusaha menjulang nama Telisai ke persada kebangsaan dan antarabangsa.


Sunday, November 8, 2015

PUSAT KITAR SEMULA KG TELISAI BUKTI INISIATIF MURNI INOVASI PENDUDUK KAMPUNG

Kampung Telisai, dengan kerjasama strategik bersama Syarikat Jitu Padu, syarikat milik anak tempatan telah membangunkan satu pusat kitaran sampah atau sisa buangan. Pusat ini merupakan satu usaha murni penduduk kampung yang dipelopori oleh kepimpinan Koperasi Telisai Berhad turut mendapat sokongan kuat dari Ketua Kampung dan JKKK.

En Ibnu Hashim Hj Hamid yang juga pemilik Syarikat Jitu Padu, semasa ditemui turut memaklumkan bahawa pusat ini telah dilawati oleh Tuan Pegawai Daerah Lahad Datu bersama para pegawainya, Tuan Penolong Pegawai Daerah Kecil Tungku, Tuan Pegawai KEMAS Daerah Lahad Datu dan pegawai-pegawai dari Felda Sahabat.

Matlamat utama pusat ini adalah untuk mendidik masyarakat kampung tentang pengurusan sampah dan perlunya sampah- sampah diurus awal di peringkat rumah lagi. Bagi sisa pejal makanan misalnya, pusat ini akan proses untuk dijadikan baja kompos sayuran dan bunga-bunga. Bagi sampah kategori lain pula, ianya akan dikumpul di pusat ini untuk dijual kepada pembeli yang sudah dikenalpasti. Hasil jualannya pulak sebahagiannya akan disimpan di Tabung Kebersihan Kampung untuk manfaat penduduk kampung.




Tuesday, October 13, 2015

GOTONG-ROYONG MENJADI AMALAN MULIA

Baru-baru ini (Sabtu 10/10/2015)
berlangsung program gotong-royong mega di Kampung Telisai. Kawasan kampung yang menjadi tumpuan adalah di kawasan masjid dan taman perkuburan kampung. Tuan Ketua Kampung turut bersama masyarakat semasa program tersebut berlangsung. Kaedah bergotong-royong ini memang menjadi budaya masyarakat sejak dahulu lagi dan ianya adalah bukti kuatnya ikatan kesefahaman di kalangan penduduk kampung.





Thursday, October 8, 2015

Kesepaduan Fahaman serta Kebersamaan Hidup Amalan Kami di Telisai

Kami bersyukur kerana selama ini kehidupan masyarakat Kampung Telisai begitu harmoni dan aman. Dalam beberapa aspek atau isu, memang wujud berlainan fahaman atau pemikiran ke atasnya di kalangan penduduk kampung namun, kekuatan kami adalah masyarakat kampung boleh "Bersetuju Untuk Tidak Bersetuju." Satu lagi faktor yang mendorong kepada keharmonian ini adalah hubungan kekeluargaan yang erat di kalangan penduduk kampung.

Penduduk kampung ini adalah dari suku kaum Balangingi, Satu kaum yang mempunyai kebudayaan dan tradisi yang pelbagai. Banyak etika dan budaya yang masih diamalkan sehingga ke hari ini. Biarpun pada saat ini generasi sudah masuk ke peringkat generasi ke 4, namun pengamalan adat budaya Bangingi ini masih diamalkan biarpun tidak sepenuhnya.
Banyak juga adat istiadat Balangingi ini dipengaruhi oleh amalan suku Bajau seperti tarian-tarian tradisi. Usaha juga giat dijalankan untu menerapkan budaya tradisi ini di kalangan kanak-kanak sewala peringkat pembelajaran di tabika lagi

Tuesday, October 6, 2015

'Telisai Tercinta' Mengenang Jasa Panglima


Akhirnya sebuah lagu yang mengisahkan perjuangan tokoh lagenda dan ikon anak Telisai berjaya dihasilkan. Lagu berentak perlahan dan mendayu itu dicipta oleh Saudara Mohd Sahad Abd Said dengan liriknya hasil nukilan Saudara Usman @ Suhaili Hamid. Lagu ini dijangka mampu menjadi satu wadah anak cucu, cicit Panglima Nalaja untuk menghargai jasa-jasa panglima dalam membina persada terindah Kampung Telisai ini. Penyanyi asal kepada lagu ini adalah Sdr Mohd Sahad bersama Sdri Fauziah Abd Bani.


Tahniah atas kejayaan menjadi Juara ADS1M daerah Lahad Datu

Tahniah diucapkan kepada semua masyarakat Kampung Telisai khususnya para pemimpin, Tuan Ketua Kampung, Pengerusi JKKK, Pengerusi Koperasi Telisai Berhad, Pengerusi Peserta Felcra, Pengerusi WADIRA, Pengerusi PIBG, Pengerusi Persatuan Belia Telisai dan semua yang terlibat dalam Majlis Penghakiman ADS1M Daerah Lahad Datu pada bulan Mei lepas.

Usaha kini ditumpukan kepada memastikan semua penduduk bekerjasama mengekalkan momentum kejayaan ini untuk persiapan ke ADS1M peringkat Negeri Sabah yang bakal diadakan pada bulan Oktober ini. Program ini adalah amat penting dan mencabar kerana ianya menyentuh tentang aspek suasana keharmonian kehidupan penduduk kampung, kekuatan ekonomi, daya saing berorganisasi dan pentadbiran, kemajuan pendidikan serta kebersihan kawasan kampung. Semoga kejayaan ini tidak hanya berakhir di peringkat ini malahan diharap ianya berkekalan.