TUNGKU : Kg Telisai mencatat satu lagi sejarah apabila dipilih menjadi penganjur kepada Sambutan Hari Kebangsaan 2016 Peringkat Daerah Kecil Tungku. Majlis telah disempurnakan oleh YB Datuk Hj Mohd Suhaili Hj Said dan dihadiri oleh para pemimpin kawasan Tungku serta pegawai-pegawai kerajaan dari Lahad Datu dan Ketua Seranta Felda Sabah.
Sebanyak 18 kontinjen telah menyertai perbarisan hormat dan didahului oleh pasukan PDRM. Kontinjen Kadet SMK Tungku telah muncul sebagai Juara dan WADIRA Telisai pula mengungguli tempat kedua pertandingan kontinjen terbaik. Antara acara-acara adalah persembahan Taekwondo oleh PTC Telisai yang mendapat tumpuan hangat daripada hadirin.
Usman Hj Hamid selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur berkata, Telisai dipilih sebagai tuan rumah sambutan kali ini bagi memberi penghormatan kepada kampung Telisai yang telah dinobatkan sebagai kampung terbaik di Sabah tahun 2015 melalui pertandingan ADS1M.